Sunday, June 10, 2012

Tips Menulis Buku Bestseller karya Zamri Mohamad

Tips Menulis Buku Bestseller karya Zamri Mohamad
Tarikh membeli - 7 Jun 2012   Tempat : Mydin  Taman Meru,Ipoh    Harga : RM28
Tarikh mula membaca 7 Jun 2012

Kenapa mengambil masa yang lama untuk membeli buku ini?

      Buku ini sudah beberapa kali saya melihatnya. Sering sahaja terjumpa dengan buku ini semasa berada di kedai buku namun tidak pernah pula saya membelek-belek isinya. Selalu juga melihat kaver buku ini di laman Facebook dan selalu juga melihatnya di kedai-kedai buku alam maya. Entah mengapa , tiada usaha untuk membelinya sedangkan pernah terdetik mahu memiliki buku karya Tuan Zamri Mohamad.
       Tajuk buku ini memang menarik malah mengujakan tetapi tajuk itu juga yang menjadi penghalang tindakan untuk membelinya. Punca utama, dalam hati tidak pernah teringin atau termimpi untuk menjadi penulis 'Bestseller'. Terasa seperti cuba mengapai awan. Mungkin juga menjadi seperti pungguk rindukan bulan.
       Keduanya, andai dibeli, terasa juru wang di kaunter akan memandang sinis diri yang membeli buku itu. Mungkin dalam hatinya, "Oh! Orang ini mahu menjadi penulis buku 'Bestseller'. Hehehe!" Pasti senyum terukir di bibir ketika memegang buku untuk diskrin dalam komputer.
     
       Kenapa baru sekarang saya membelinya? 

       Pertama , saya membeli buku ini disebabkan penulisnya. Saya sudah kenal penulis ini sudah lama. Saya yang mengenali beliau, bukan sebaliknya. Semasa saya mula berjinak-jinak dengan dunia penulisan , saya tahu beliau memang penulis.Kali pertama saya bertemu beliau adalah ketika saya menghadiri satu kursus penulisan pada tahun 2010. Ketika itu, saya bukan siapa-siapa. Sekarang ini pun masih bukan siapa-siapa. Hehehe!
      Yang membuatkan saya mahu membeli buku ini ialah saya mahu tahu apa yang sebenarnya mahu ditawarkan oleh Tuan Zamri dalam bukunya ini. Adakah isinya sehebat tajuknya? Adakah gaya penulisan beliau berjaya menarik minat saya untuk terus membaca? (Saya pernah tidak habis membaca buku yang dibeli kerana penulis tidak dapat memenuhi tujuan saya membaca buku mereka). Mungkinkah indah khabar dari rupa? Atau mungkinkah cakap tidak serupa bikin?
      Yang paling penting, saya mahu mengenali Tuan Zamri melalui tulisan beliau. Melalui tulisan, kita dapat 'melihat' pemikiran seseorang penulis. Melalui tulisan, kita dapat 'merasa' isi hati  penulisnya.
       Keduanya, saya memang mahu menjadi penulis namun tidak terfikir mahu sampailah ke tahap 'bestseller'. Saya mahu ketika sepanjang hayat saya di dunia ini, saya dapat hasilkan sekurang-kurangnya sebuah buku sebagai peninggalan saya. Saya mahu membuat kebaikan yang pahalanya boleh dibawa ke alam akhirat sana. Jadi, membeli buku ini merupakan usaha saya mencari ilmu yang saya perlu. Sama ada buku ini dapat memenuhi keperluan ilmu yang dicari, jawapannya akan diketahui sebentar lagi.

Intipati buku 'Tips Menulis Buku Bestseller'

Buku ini dibahagikan kepada 3 Bahagian.
a) Bahagian 1 - Potensi Diri Sebagai Penulis Bestseller .
    Bahagian ini mengandungi 16 bab (Bab 1- Bab 16). Melalui bahagian ini, penulis berusaha menyedarkan pembaca bahawa sesiapa sahaja berpotensi menjadi penulis bestseller. Semasa dan selepas membaca bahagian ini, Saya baru menyedari bahawa tiada apa yang mustahil.
    Bagi insan yang tidak terfikir pun dapat menulis sebuah buku yang boleh menjadi bestseller seperti saya pun  berasa bahawa tiada salahnya berjiwa besar dan berangan-angan untuk menjadi penulis buku biarpun bukan bestseller.
    Yang penting, kita ada ilmu dan ilmu itu boleh diperoleh melalui buku ini. Dalam erti kata lain, apabila membaca bahagian ini, pembaca akan merasakan seolah-olah kata-kata yang ditulis memang ditujukan khusus kepada mereka dan bagusnya bahagian ini yang menjadi pendorong kepada keinginan untuk menulis.

2)Bahagian 2 - Penulisan Berpengaruh Sepanjang Zaman
   Bahagian ini mengandungi 14 bab (Bab 17-Bab 30). Saya kira bahagian ini merupakan inti utama bagi buku ini. Bukan sekadar tips tetapi bahagian ini memberikan panduan menulis buku bestseller yang lengkap. Bagi diri saya yang pernah juga membaca buku panduan menulis, buku ini ternyata memenuhi matlamat buku ini ditulis iaitu memberi ilmu dan panduan kepada pembaca cara/kaedah menulis buku bestseller.
   Dalam bahagian ini, saya paling suka Bab 19- KJ Method untuk Penulis Yang Sibuk. Kenapa? Nanti saya kongsikan.

3) Bahagian 3 - Pemasaran Karya Kepada Khalayak
   Bahagian ini mengandungi 10 bab ( Bab 31- Bab 40). Bab ini memang penting tetapi hanya setelah seseorang itu berjaya menulis manuskrip. Namun Bab 31 dan Bab 32 merupakan bab yang memberi panduan berkaitan Kertas Cadangan Manuskrip.
   Jadi, kedua-dua bab ini perlu juga dibaca terlebih dahulu manakala yang lain boleh dibaca kemudian tetapi yang saya buat saya baca juga tetapi baca sepintas lalu sahaja kecuali Bab 39 iaitu Caj Karya Bestseller Dengan Kuasa Fitrah. Bab 39 merupakan bab yang istimewa dan bab yang saya suka. Saya akan kongsikan kemudian.

Keistimewaan buku 'Tips Menulis Buku Bestseller'


Ada banyak keistimewaan yang ada dalam buku ini.
     Pertama,
     Belum pun membuka bahagian isi kandungan, saya membaca catatan bermakna.
"Sekalung penghargaan diucapkan kepada saudara yang sedang membaca dan menjadikan buku ini sahabat akrab saudara."
     Saya tersenyum membacanya. Saya yang belum pun membaca buku tersebut dan belum pun menjadikannya sebagai sahabat akrab sudah pun diberikan penghargaan. Saya kira kata-kata tersebut merupakan motivasi sosial iaitu ganjaran positif yang diberikan sebelum sesuatu tindakan dibuat. Kata-kata itu merupakan pendorong untuk memulakan langkah membaca buku tersebut.

     Kedua,
     Buku ini saya anggap sebagai buku 'terjemahan' kepada kata-kata yang tercatat di dalamnya. Dalam erti kata lain, buku inilah bukti hasil mengikut panduan penulisan yang diberi. Misalnya dalam Bab 22 Merendahkan Indeks Kabut iaitu pada subtopik Pecah Jangan Dihimpunkan, dinyatakan bahawa isi perlu dipecahkan kepada perenggan berbeza.
    Jika pembaca kurang memahami apa yang dimaksudkan, analisis sahaja isi dalam perenggan-perenggan yang ditulis. Pasti pembaca mengakui bahawa penulis buku ini mengaplikasi sendiri panduan yang diberikannya.
     Begitu juga dengan Subtopik Bahagikan Bab Kepada  Bab-bab Kecil yang mana setiap bab dalam lingkungan 3-5 halaman (m/s 142) . Melihat kepada buku itu sendiri, didapati penulis menulis dalam 3-5 halaman bagi setiap muka surat (kecuali ada dua bab yang saya perasan mempunyai lebih daripada 5 halaman).
     Kata penulis, "Pembaca mudah berpuas hati apabila mereka selesai membaca satu-satu bab sebelum menyambungnya kepada bab seterusnya. "
     Saya akui akan kebenaran kata-kata penulis kerana saya memang berasa demikian.

     Ketiga,
     Bahasa yang digunakan ialah Bahasa Melayu Tinggi. Sedap membacanya. Mudah dan santai bahasa yang digunakan. Senang difahami.

     Keempat,
    Tips Penulis Bestseller. Bagi penghujung setiap bab, akan ada catatan tips ringkas@penting bagi bab tersebut. Jadi, mudah untuk diingati dan mudah untuk dijadikan rujukan. Memang menarik.

     Kelima,
     Penerangan yang jelas bagi setiap panduan. Buku ini ialah buku teknikal namun penerangannya cukup jelas. Contohnya dalam Bab 18 Logik Barat dan Penulisan Secara Linear -Subtopik Penulisan Secara Linear. Penulis memberikan panduan dan memberikan contoh penulisan buku yang ada dalam pasaran seperti buku Dr Zakuan Zainy Derus 'Keajaiban Al-Quran'.
    Sebenarnya, banyak  buku  bestseller yang dijadikan contoh/bukti  dalam buku ini. Hal ini tentunya dapat membina keyakinan pembaca bahawa panduan yang diberi oleh penulis memang praktikal.

    Keenam,
    Berkaitan dengan penerangan yang jelas, bukan sekadar contoh yang relevan namun penggunaan paparan skrin komputer, gambarajah, carta aliran dan gambar banyak membantu pembaca memahami perkara yang dibaca. Dalam erti kata, bukan sekadar panduan tetapi dalam bab-bab tertentu ia seperti modul seperti dalam Bab 19 KJ Method bagi Penulis Yang Sibuk.
     Dalam bab ini banyak paparan skrin komputer yang ditunjukkan bagi menjelaskan perkara yang dimaksudkan. Misalnya, penerangan cara membina folder yang diisi dengan kad-kad ( yang terdiri daripada file-file dalam format Msword/ Notepad)

     Ketujuh,
     Panduan dan tips daripada penulis buku panduan menulis buku bestseller antarabangsa turut dikongsi dalam buku ini. Contoh dalam Bab 21 -Jadikan Buku Karya Berpengaruh, penulis berkongsi panduan daripada Steven Taylor Goldsberry (halaman 135) iaitu tips menyalin hasil penulisan yang baik.

     Kelapan,
     Contoh-contoh yang diberikan bersesuaian dengan isu perbincangan. Hal ini menguatkan keyakinan pembaca bahawa apa yang dikatakan penulis adalah benar. Misalnya dalam Bab 11 Pendorong Menjadikan Diriku Penulis- Subtopik Pendorong Mengutip Manuskrip dari Bakul Sampah. Contoh yang diberikan adalah tentang Stephen King yang mempunyai isteri yang menjadi pendorongnya menulis.
     Isterinya telah mengutip manuskrip yang separuh siap yang dibuangkan oleh Stephen King ke dalam sampah dan menyuruh suaminya itu menyiapkan penulisannya. Tindakan pendorong penulis ini telah menyebabkan penulis menyiapkan novelnya dan akhirnya berjaya meraih royalti yang berjumlah US$ 400,000.
    Cerita-cerita yang dikongsikan oleh penulis buku Tips Menulis Buku Bestseller ini merupakan motivasi yang menggerakkan keinginan saya untuk terus membaca buku ini dan juga memberi keyakinan akan kebolehpercayaan panduan yang disampaikan oleh penulis.

Bab Yang Paling Disukai
      Saya paling menyukai Bab 19 dan Bab 39.
      Bab 19 ialah berkaitan KJ Method. Saya suka bab ini kerana saya telah lama mahu mendapat ilmu tentang KJ Method.Saya banyak mendengar tentang kaedah ini namun hanya sekadar namanya dan saya tidak pernah tahu dengan terperinci tentang kaedahnya. Syukur Alhamdulillah! Saya mendapat ilmu yang saya inginkan dan telah mula saya aplikasikan.
     Bab 39 Caj Karya Bestseller Dengan Kuasa Fitrah(halaman 263). Saya suka apabila dikaitkan penulisan dengan agama. Menurut penulis, aktiviti menulis dianggap sebagai ibadah dan penulis berusaha menggunakan bakat sebagai cara mencari rezeki halal secara langsung meletakkan Tuhan sebagai matlamat peribadi dan diurus sebaik-baiknya. Penulis juga menyentuh elemen fitrah yang menyebabkan penulis berkarya dan berusaha menghasilkan buku bestseller. Elemen fitran dikaitkan dengan fikiran, inspirasi, teknik, respon, aplikasi dan hamba.

Impak kepada Pembaca (Diri saya)

Pertama, membaca buku Tips Menulis Buku Bestseller ini menerbitkan keinginan saya untuk membaca blog Tuan Zamri. Saya juga teringin mengikuti kursus penulisan yang dianjurkan oleh Tuan Zamri dan disampaikan oleh Tuan Zamri sendiri. Saya ingin mendapat ilmu dan tips secara langsung daripada penulis sendiri.
Kedua, saya khatam buku ini hanya dalam dua hari. Sentiasa ada tarikan untuk meneruskan pembacaan.
Ketiga, benar seperti yang dikatakan. Tunggu apa lagi, menulislah...Hehehe!

Kenapa anda harus membeli dan membaca buku 'Tips Menulis Buku Bestseller'
Buku ini saya yakini boleh membantu sesiapa yang teringin menjadi penulis buku bestseller. Tidak salah berangan-anagn asalkan angan-angan diikuti dengan tindakan dan tindakan berdasarkan panduan daripada pakar.
      Saya pula, saya akan mengikut panduan dan saya akan lihat impaknya. Saya jenis yang suka mengaplikasi sesuatu panduan sebelum berani menyatakan bahawa panduan itu tidak benar atau tidak mungkin berhasil. Pada saya tidak salah mencuba. Kalau tidak berhasil pun, sekurang-kurangnya saya sudah mencuba. Itu jauh lebih baik daripada tertanya-tanya adakah saya akan berjaya jika saya ikuti panduan yang diberi.
       Bagi insan yang tidak terfikir pun hendak menjadi penulis, tidak rugi juga membaca buku ini kerana ada maklumat yang berguna untuk semua, tidak kira anda siapa, misalnya kaedah KJ Method yang boleh diaplikasikan atau digunakan untuk membuat kerja-kerja penyelidikan dan seumpamanya.
       Jadi, anda bagaimana?